Friday, January 21, 2011

‘Janganlah beta diseret’




[caption id="attachment_43" align="alignleft" width="300" caption="Sultan Sharafuddin tidak mahu diheret dan dilibatkan dalam kancah politik oleh pihak tidak bertanggungjawab."][/caption]

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan harapan agar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin ini berlangsung dalam keadaan teratur.

Bagaimanapun dalam perutusan bertarikh 14 Januari lalu, Sultan Sharafuddin tidak mahu tindakan baginda menandatangani proklamasi untuk memanggil Sidang DUN disalah erti kononnya baginda menyokong mana-mana pihak.


“Proklamasi ini ditandatangani beta selaras dengan kuasa dan tanggungjawab yang diperuntukkan kepada beta di bawah Perkara LXX (1) dan LV(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.


“Janganlah hendaknya perjalanan kuasa beta menandatangani proklamasi ini disalah ertikan bahawa beta menyokong mana-mana pihak dan janganlah beta diseret dan dilibatkan masuk dalam kancah politik oleh mana-man pihak berkepentingan yang tidak bertanggungjawab,” titah baginda.


Perutusan tersebut yang diedarkan kepada media hari ini turut diserahkan kepada semua ADUN di Selangor termasuk Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim.


Sidang DUN itu diadakan berikutan usaha kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mahu meminda perlembagaan negeri berhubung mengembalikan kuasa kepada menteri bagi melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kewangan dan Penasihat Undang-undang negeri.


Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan baginda telah menerima dan meneliti draf pindaan Perkara LII Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang akan dibawa ke sidang DUN itu.


“Bagaimanapun, baginda menyerahkan kepada kebijaksanaan Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor untuk menilai sama ada pindaan itu wajar diluluskan atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

No comments:

Post a Comment