LABIS 20 Jan. - Sehari selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim, hari ini menziarahi pusara arwah bapanya dan juga menemui ahli keluarga serta saudara maranya untuk mendapatkan restu dan inspirasi sebelum beliau mengharungi cabaran menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari ini.
Seawal pukul 9 pagi, beliau bersama adiknya, Mohd. Nor Saidil, 32, mengunjungi pusara bapanya, Allahyarham Ibrahim Daud di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Merah, di sini.
Beliau meluangkan masa kira-kira 45 minit di pusara tersebut dan menyertai bacaan doa serta tahlil bersama-sama beberapa ahli keluarga dan penduduk kampung yang turut hadir.
Allahyarham bapanya meninggal dunia pada 2004 akibat serangan penyakit jantung.
Ibrahim merupakan bekas Ahli Dewan Negara sebelum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Tenang selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 1999.
Ketika di tanah perkuburan itu, Datin Seri Noraini Yaakop, 35, balu kepada ADUN Tenang, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha, 59, yang meninggal dunia pada 17 Disember lalu, turut menziarahi pusara arwah suaminya.
Selepas meninggalkan tanah perkuburan itu, Mohd. Azahar yang mempunyai sembilan adik-beradik kemudian mengunjungi ahli keluarga dan sanak saudaranya di kawasan ini serta neneknya di Segamat.
Mohd. Azahar yang ditemui berkata, kekuatan semangat bapanya melaksanakan pelbagai tanggungjawab daripada menjadi penghulu mukim sehinggalah Ahli Dewan Negara dan kemudian sebagai ADUN Tenang, akan dijadikan sumber inspirasi sepanjang kempen pilihan raya kecil DUN Tenang sejurus penamaan calon pada Sabtu ini.
"Asam garam politik sudah ada dalam darah saya. Ini kerana, kami sekeluarga dah terdedah kepada politik apabila arwah ayah sendiri tidak menghalang kami menyertai aktiviti politik.
"Dua adik saya, Norshida dan Mohd. Nor Saidil juga menjejaki langkah arwah ayah. Norshida sekarang Ketua Puteri UMNO Segamat, manakala Mohd. Nor Saidil merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sekijang," katanya.
Mohd. Azahar, 39, diumumkan sebagai calon oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan pemimpin dan penyokong parti di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Labis, di sini, petang semalam.
Sebelum ini, Pas telah mengumumkan Ketua Muslimat Pas Labis, Normala Sudirman, 38, sebagai calon parti itu bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Tenang.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Allahyarham Sulaiman memenangi kerusi DUN Tenang selepas menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.
Ditanya mengenai rutin hariannya selepas diumumkan sebagai calon BN, Mohd. Azahar memberitahu:
"Malam tadi saya cuma dapat melelapkan mata pada pukul 2 pagi tadi kerana perlu melakukan pelbagai persiapan," katanya.
Sementara itu, mengenai cabaran yang bakal dihadapinya jika dipilih sebagai ADUN Tenang, beliau berkata, pengalamannya sebagai Penolong Pentadbir Daerah di Kluang, Segamat dan Rengit akan digunakannya untuk lebih mendekati masyarakat tempatan.
"Saya memahami masalah penduduk seperti isu permohonan tanah Felcra dan tapak rumah generasi kedua Felda di Felda Tenang, Felda Chempelak dan Felda Chempelak Barat. Jika terpilih, saya akan lakukan yang terbaik untuk rakyat di sini," katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_09.htm
No comments:
Post a Comment